JIKALAU perkhidmatan awam ingin terus relevan, ia perlu berubah. – GAMBAR HIASAN
SAUDARA PENGARANG,
TRANSFORMASI dalam perkhidmatan adalah usaha penambahbaikan secara berterusan yang perlu digerakkan sebagai langkah menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat secara keseluhuran. Ia bagi membolehkan organisasi kekal relevan dan mampu bersaing sebagai tindak balas terhadap perkembangan semasa.
Langkah itu turut melibatkan proses penciptaan paradigma baharu yang melibatkan perubahan struktur dan sistem, kaedah pengurusan, kompetensi, profil kerja dan hasil yang dikeluarkan.
Tuntutan transformasi dalam perkhidmatan awam menjadi semakain mendesak apabila ia sering kali dianggap kurang responsif kepada keperluan dan kehendak sebenar rakyat.
Hakikat ini mendorong pelbagai negara menggerakkan transformasi perkhidmatan awam seperti initiatif Reinventing Government di Amerika Syarikat dan program Next Steps di Great Britain.
Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam sendiri mengakui bahawa kemajuan memerlukan perubahan. Jikalau perkhidmatan awam ingin terus relevan, ia perlu berubah dan senantiasa melakukan pembaharuan supaya lebih baik, tangkas, strategik dan berdisplin.
Dalam pada itu, transformasi sebenarnya merujuk kepada kebolehan sesebuah organisasi untuk menyesuaikan diri menghadapi perubahan persekitaran yang tiada noktahnya.
Manakala cabaran utama dalam menggerakkan transformasi adalah kesediaan sumber manusia yang menjadi komponen utama sesuatu organisasi.
Transformasi tidak akan berlaku jika tidak didukung kuat oleh anggota organisasi yang sewajarnya bertindak selaku pencetus, penggerak dan pelaksana agenda perubahan.
Kesediaan sumber manusia sebagai ejen perubahan tidak terhad dengan mengoptimumkan kemahiran dan kepakaran mereka sahaja. Apa yang lebih utama ialah memberi sepenuh kekuatan dalaman dan luaran bagi melakukan perubahan.
Pendaftar Universiti Malaysia Terengganu (UMT)