Muqaddimah
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), al-Nisa’: 58
Sabda Rasullullah s.a.w. :
ألا لا إيمان لمن لا أمانة له
Ketahuilah! Tidak beriman bagi sesiapa yang tiada amanah. Riwayat Imam Ahmad
Berdasarkan ayat dan hadis di atas amanah adalah satu kewajipan yang mesti ditunaikan. Perintah di sini wajib sebagaimana perintah-perintah yang lain seperti solat, puasa dan sebagainya. Amanah adalah cabang keimanan, seseorang yang beriman mempunyai sifat amanah dan sebaliknya pula orang tidak amanah itu menandakan kekurangan imannya.
Takrif dan Skop Amanah
Amanah ialah penjagaan hak-hak dengan sempurna dan disampaikan kepada tuannya. Bidang amanah terlalu luas meliputi agama dan kewajipan syara’, kepimpinan, bidang pekerjaan seperti pentadbiran, perniagaan, perkilangan, rumahtangga dan sebagainya. Setiap insan mestilah menunaikan amanah-amanah ini dengan sempurna terutama amanah agama yang asasnya ialah tidak menyembah sesuatu pun selain Allah..
Pekerjaan adalah satu amanah besar yang mesti ditunaikan oleh setiap insan. Pekerjaan tanpa mengira bentuknya adalah baik sekiranya tidak bercanggah dengan syara’. Secara umumnya tiada beza di sisi Allah s.w.t. seorang yang berjawatan tinggi dengan seorang yang berjawatan rendah.
Amanah dalam Pekerjaan
Setiap pekerja mestilah sentiasa bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana kurniaanNya itu. Seorang staff yang muslim mestilah berusaha sedaya yang mungkin untuk menjadi seorang yang cemerlang dan profesional dalam bidangnya. Kecermelangan dan keprofesionalan bukan untuk staff akademik sahaja, malah untuk semua staff. Seorang kerani dia boleh menjadi kerani yang profesioanal, seorang mekanik juga boleh menjadi mekanik yang profesianal dan seorang tukang sapu pun boleh menjadi seorang tukang sapu yang profesianal.
Asas yang paling utama di dalam kecermelangan dan keprofesionalan pekerjaan, bergantung kepada penunaian amanah dan tangungjawab yang diberikan. Sekiranya seorang staff itu cuai dalam menunaikan amanah bermakna dia seorang yang gagal, terkebelakang dan akan dipersoalkan nanti di akhirat.
Jenis- jenis Amanah
Di antara amanah yang mesti ditunaikan ialah :
a) Mengetahui bidang tugasnya; seorang staff yang profesional tidak perlu diberitahu secara berulang-ulang tentang tugasnya. Dia hanya perlu ditunjuk ajar sekali, kemudian dia sendiri akan menyelesaikannya tanpa perlu ditegur lagi. Dia akan menyiapkankanya sebelum atau tepat pada waktunya. Dia tidak mengenal erti tangguh menangguh. Contohnya, pembuat soalan yang profesional akan menyiapkan soalan dengan baik dan menghantarkannya kepada penyelaras pada waktu yang ditetapkan. Dia memahami masalah yang akan dihadapi oleh penyelaras sekiranya dia lewat menghantar soalan. Jadi pembuat soalan yang tidak bersifat sedemikian adalah pembuat soalan yang tidak profesional, tidak cemerlang dan berkepentingan diri.
b) Mempunyai rasa tanggungjawab dan tidak membebankan orang lain menyelesaikannya. Contohnya dalam dewan peperiksaan, seorang pengawas atau pembantu pengawas yang profesional mengetahui kerja yang perlu mereka siapkan tanpa ada sifat harap mengharap. Pengawas dan pembantu pengawas mesti bekerjasama dengan ketua mengutip slip kehadiran, mencatat kehadirn dan mengira skrip. Jangan membiarkan ia dilakukan oleh segelintir pengawas atau pembantu pengawas, yang lain duduk di penjuru-penjuru dewan menanti waktu tamat.
c) Melakukan setiap tugas dengan bersungguh-sungguh dan yang terbaik. Contohnya, seorang kerani yang cemerlang akan memastikan surat atau sebarang dokumen yang diperlukan siap pada masa yang ditetapkan.
d) Menunjukkan sifat komitmen kepada kerja dan tidak berdalih. Sentiasa ada ketika diperlukan dan lebih mementingkan kerjanya daripada tugas-tugas yang tidak berkaitan. Seorang staff yang berkaliber akan peka dengan perkembangan di tempat kerja, dia tidak akan menggunakan alasan seperti tidak tahu ada meeting, tidak tengok surat lagi, lewat diberitahu dan pelbagai alasan lain. Sebaliknya dia akan cuba buat sehabis baik dengan menggunakan kepakaran dan kreativiti yang ada sehingga dapat mengubah situasi yang tegang kepada situasi yang tenang tanpa menyalahkan sesiapa.
e) Menjauhkan diri daripada sebarang sifat khianat dan tidak bermaruah, seperti rasuah, pecah amanah, bocorkan soalan dan membuat sesuatu untuk kepentingan diri.
Sabda Rasullullah s.a.w. :
آية المنافق ثلاث : إذا حدّث كذب وإذا وعد أخلف وإذا اؤتمن خان – متفق عليه
Ada tiga tanda munafiq : Apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia mungkiri dan apabila diberi amanah ia khianati.
Penutup
Sabda Rasullullah s.a.w. :
أربع إذا كنَّ فيك فلا عليك ما فاتك من الدنيا : حفظ الأمانة وصدق حديث وحسن خليقة وعفة في طعمة – الشيخان
Empat perkara sekiranya kamu memilikinya kamu tidak akan ditimpa (balasan) terhadap apa yang kamu tidak buat di dunia: Jaga amanah, bercakap benar, berakhlak baik dan mengawal pemakanan (halal dan haram).