Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat Komunikasi Korporat (PKK) UMT, di sini hari ini, pelantikan Nora’Aini selama tiga tahun itu adalah bagi menggantikan Mohd. Nor Shokri Abdul Rahman yang telah tamat tempoh lantikan.

Katanya, perkembangan itu sekali gus menyaksikan kali pertama pelantikan Pendaftar UMT terdiri dalam kalangan ahli akademik.

Nora’Aini, 49, yang berasal dari Dungun, Terengganu merupakan pensyarah Kejuruteraan Kimia dengan pengkhususan dalam Teknologi Membran dan Penjerapan serta Teknologi Penukaran Biojisim yang bernaung di bawah Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan.

Beliau memperoleh Ijazah Kedoktoran (PhD) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2003 dan telah memulakan karier bersama UMT yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Kustem) sejak 1996 lagi sebagai pensyarah.

Nora’Aini aktif dalam pelbagai aktiviti geran penyelidikan dalam dan luar negara dan telah menerima pelbagai anugerah penyelidikan termasuk Anugerah Penyelidik Tahunan Terbaik dalam Majlis Anugerah Malim Ilmu UMT 2012 serta telah menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada pencapaian UMT.

Sepanjang berkhidmat bersama UMT, beliau pernah memegang beberapa jawatan pentadbiran penting seperti Ketua Jabatan Kejuruteraan Sains, Fakulti Sains & Teknologi (FST), Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) FST, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UMT diikuti Timbalan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan.

Di samping itu, beliau turut bergerak aktif sebagai Presiden Kelab Mutiara UMT yang dianggotai oleh kakitangan wanita serta isteri warga universiti itu