Jul 20

Ahlan Ya Ramadhan!

Ramadhan sudah datang menemui kita buat sekian kalinya. Ia adalah bulan keberkatan dan rahmat. Ia adalah bulan keampunan dan penerimaan amal. Ia adalah bulan manusia melepaskan diri dari azab neraka. Berpuasa di siangnya adalah fardhu. Menghidupkan malamnya adalah kecintaan Allah. Ia adalah penyempurna kepada rukun-rukun Islam. Tanpanya tidak akan sempurna agama seseorang.
Daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Islam dibina di atas lima asas; persaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan.” (Riwayat Bukhari).

Lima rukun Islam inilah asas kebaikan seseorang manusia di dunia dan penyelamat mereka di akhirat nanti.

Amru bin Murrah al-Jahni r.a. bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, apa pandanganmu jika aku mendirikan solat lima waktu, menunaikan zakat, berpuasa dan menghidupkan bulan Ramadhan. Siapakah aku?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Dari kalangan siddiqin dan syuhada’.” (Riwayat Ibn al-Bazar dan Ibnu Hibban).

Penduduk Langit Menyambut Ramadhan

Kehadiran bulan ini disambut oleh penduduk langit.

Langit akan dibuka sepanjang bulan Ramadhan. “Apabila tiba malam pertama Ramadhan, akan dibuka semua pintu langit. Ia tidak akan ditutup walau pun satu pintu sehinggalah ke malam terakhir Ramadhan.” (Riwayat Baihaqi)

Pintu syurga akan dibuka.

Pintu neraka akan ditutup.

Semua syaitan akan dirantai.

“Apabila tiba Ramadhan, akan dibuka pintu-pintu syurga, akan ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan akan dirantai.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Syurga akan berhias dan bersedia untuk menyambut muslim yang berpuasa dengan penuh keimanan.

“Umatku diberikan lima perkara di bulan Ramadhan dan tidak pernah pemberian itu diberikan kepada umat sebelumku ……. Sesungguhnya Allah mengarahkan syurgaNya dan berkata: “Bersedialah dan berhiaslah untuk hamba-hambaKu. Mereka sudah hampir meninggalkan keletihan dunia menuju kerehatan di rumahKu dan menuju kemuliaanKu.” (Riwayat Baihaqi)

Penyeru dari langit akan menyeru penduduk dunia pada setiap malam.

“Seorang penyeru langit akan berseru pada setiap malam sehingga ke waktu fajar: “Wahai pencari kebaikan! Bergembiralah. Wahai pencari kejahatan! Menjauhlah. Adakah sesiapa yang meminta ampun!? Allah akan mengampunkannya. Adakah sesiapa yang bertaubat!? Allah akan menerima taubatnya. Adalah sesiapa yang ingin memohon!? Allah akan mengabulkan permohonannya. Adakah sesiapa yang meminta!? Allah akan memperkenankan permintaannya.” (Riwayat Baihaqi)

Bagaimana Sambutan Penduduk Bumi?

Malangnya sambutan penduduk bumi tidak sama di antara seorang dengan yang lain.

Ada yang menyambutnya dengan debaran seumpama menanti kekasih yang dirindui dan amat sedih ketika berpisah meninggalkannya. Mereka mengisi Ramadhan dan mengambil peluang bertaqarrub kepada Allah di bulan ini.

“Sesiapa yang menghampiri Allah di bulan ini dengan satu amalan sunat ia seumpama mereka melakukan satu amalan fardhu di bulan yang lain. Sesiapa yang mengerjakan satu amalan fardhu, ia seolah-olah mengerjakan 70 amalan fardhu di bulan yang lain. Di bulan ini, orang yang mengimaninya akan ditambah rezeki.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Tetapi tidak kurang yang akan kerugian selepas Ramadhan berlalu meninggalkannya.

“Ramai yang berpuasa tidak mendapat habuan dari puasanya kecuali lapar. Ramai yang solat malam tidak mendapat habuan dari solat malamnya itu kecuali keletihan berjaga.” (Riwayat al-Hakim)

Adakah Ramadhan Kita Tahun Ini Akan Berhasil?

Apakah buah hasil ibadah di bulan Ramadhan?

Allah menjawab: “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)

Ramadhan melahirkan kesedaran bahawa manusia dimuraqabah (diperhatikan) oleh Allah. Tiada yang memerhatikannya selain Allah.

“Ramadhan datang kepada kamu. Ia adalah bulan keberkatan. Allah akan mendatangi kamu pada bulan ini, menurunkan rahmatNya, menghapuskan dosa dan memperkenankan doa. Allah melihat perlumbaan kamu di bulan ini dan berbangga dengan perlumbaan kamu itu di hadapan malaikatnya. Tunjukkanlah kebaikan dari dirimu di hadapan Allah. Sesungguhnya orang yang celaka adalah orang yang diharamkan dari mendapat rahmat Allah.” (Riwayat Tobroni)

Seseorang menahan diri dari lapar dan dahaga … kerana Allah. Tidak minum dan makan walau pun secara rahsia … kerana Allah. Menjaga pandangan dari melihat sesuatu yang haram … kerana Allah. Berusaha untuk solat dan membaca al-Quran … kerana Allah. Tiada tolakan selain dari tolakan mencari kurniaan yang ghaib. Semua orang akan menjaga diri masing-masing tanpa tolakan luar. Kesedaran ini hidup di bulan Ramadhan. Kesedaran ini adalah sumber asasi pembinaan sifat taqwa.

Tetapi akan ada pelbagai ujian bagi seseorang yang berpuasa untuk mencapai sifat taqwa.

Berhati-hatilah dari melakukan perkara lagha, perbuatan lucah dan bertengkar.

“Apabila kamu berada di hari Ramadhan, janganlah lakukan perbuatan lucah dan jangan meninggikan suara. Apabila seseorang mencela atau menyerang kamu, katakan kepadanya: Aku sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jauhkan diri dari membatalkan puasa tanpa sebab yang syar’ie.

“Sesiapa yang berbuka di bulan Ramadhan tanpa rukhsah (keringanan syarak), Allah akan merendahkannya dan tidak menerima puasa gantinya walaupun dia berpuasa ganti sepanjang hayatnya.” (Riwayat Abu Daud)

Apabila kita berjaya mencapai sifat taqwa di bulan Ramadhan, kejayaan yang hakiki pula selepas itu adalah apabila kita berjaya mengekalkan sifat tersebut di bulan-bulan seterusnya.

Umar bin Abdul Aziz berkata: “Taqwa kepada Allah tidak diukur dengan puasa di siang hari, qiam di malamnya atau gabungan kedua-duanya. Tetapi taqwa kepada Allah adalah dengan menunaikan segala kefardhuan dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah. Sesiapa yang dikurniakan taqwa selepas itu, maka dia berada di kebaikan dan menuju ke kebaikan.”

Berusahalah agar kita keluar dari madrasah Ramadhan dengan membawa hasilnya.

“Sesungguhnya Jibril menyatakan kepadaku: “Jauhlah sesiapa yang hidup di bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya.” Lalu aku mengatakan: “Amin.” (Riwayat al-Hakim)